Abang
Bismillah.
Assalamualaikum.
Assalamualaikum.
Hari Pertama bersama GST. Ada yang menyambutnya dengan sindiran seolah seronok meraikannya, tetapi tetap pedih membayar bil yang ada.
Bagi aku, bukan tidak mahu mempersoal, tapi persetankan. Kerna inilah hasil undian dari anda. Bukan marah kerna aku pembangkang. Tapi kerana ada tangan-tangan yang tidak mahu memberi peluang untuk kita bersama-sama merubah lanskap politik dan ekonomi Malaysia. Setelah apa yang kau lihat dan rasakan daripada regim sekarang ini, kau masih kata kita harus bersyukur kerna Malaysia sudah aman. Kau bisa berkata demikian. Kerna keluarga kau punya wang banyak. Bisa kau gunakan untuk makan semewahnya. Pakai secantiknya. Berjalan sesukanya. Bukannya aku tidak mahu begitu. Tapi aku tidak mampu. Walau kadang terlupa diri disaat terpegang duit walau hanya RM 50.00.
Tapi. Post penghapus habuk blog ini bukan pada isu GST.
Tetapi post kali ini untuk mengingatkan aku kepada seorang insan.
Insan yang menyayangi aku apa adanya.
Menyekolahkan aku dengan kemampuannya.
Menasihati aku dengan tegurannya.
Insan itu abangku, Mohd Ali Bin Sundiwa.
Hari ini, 1 April, bersamaan hari ke 4 abang tidak bersama kami sekeluarga.
Perginya membawa kejutan kepada semua.
Hanya kerana demam pada awalnya, menjalani rawatan ke klinik sebanyak dua kali sehingga menjadi semakin teruk dan dihantar ke hospital, dimasukkan air sehingga diberi bantuan pernafasan dari wad biasa ke bahagian ICU sehingga abang pergi. Pergi meninggalkan kami untuk selamanya. Semuanya berlaku dengan pantas.
Alhamdulillah.
Aku sempat untuk terbang balik menemuinya.
Tetapi tidak lagi bertatapan mata berkongsi kata dan semangat.
Kerana tika itu abang tidak sedarkan diri dek ubat tidur yang diberikan.
Aku hanya sempat berbisik ke telinganya.
"Abang, mea ni. Aku sudah sampai"
"Abang kuat ya", sambil ku mengusap bahunya yang panas mencecah 39.1 degree.
Petang Sabtu itu, 28 Mac 2015. Dr yang merawat abang memanggil kami ahli keluarganya yang terdekat. Memberitahu, bahawa. Jantung abang kini sudah tidak berdegup. Mereka dalam rawatan, dan sedang mencuba membuat tekanan kepada jantung abang. Dr kata lagi, "kami akan cuba dalam 30 minit ini, harap keluarga boleh bersedia dengan apa juga keadaan dan kami memang akan berusaha sedaya upaya." Mama longlai mendengarkannya.
Aku cuba untuk menahan diri daripada meneteskan air mata. Agar mama tidak lihat aku menangis, agar mama bisa kuat. Tapi aku tidak terdaya, melihat mama terjelupuk di ruangan menunggu. Menangisi keadaan abang. Aku dan kakak disamping mama, cuba untuk menenangkan mama. Sambil mata berlinangan air mata, sambil tangan mengusap belakang mama. "Mak, istighfar mak" ulang kami berkali-kali.
Dalam fikiran aku ketika itu, aku harus kuat. Aku harus berfikiran positif bahawa abang masih ada harapan 30 minit itu.
Kami dipanggil buat kali keduanya oleh Dr yang merawat abang. Keadaannya masih sama. Mereka memberi kami masa 10 minit untuk menantikan keputusan akhir. Dr kata, "jika dia boleh sedar selepas tekanan yang dikenakan, dia mungkin akan begitu seumur hidup atau terus tiada".
Keadaan mama dan kami sekeluarga masih sama seperti sebelumnya. Risau, bersedih dengan keadaan abang.
Panggilan ketiga, Dr memberitahu mereka sudah mencuba sedaya upaya. Selepas beberapa tekanan diberikan pada jantung abang selama sejam lebih, namun tiada respon. Abang sudah tiada. Tiada.
Mama kelihatan sugul. Bapa dan abang sulung sentiasa tenang. Kakak dan aku cuba menerima kenyataan. Pakcik sempat berpesan tika itu, "Kita dibenarkan bersedih dan menangis, tetapi tidak sampai meraung dan meratap".
Sebaik melangkah keluar daripada bilik ICU, kedengaran tangisan saudara mara lainnya. Aku tidak tertahan. Tumpah sederasnya air mata.
Malam itu, aku naik van jenazah menghantar jenazah abang balik kerumah. Sambil sentiasa memegang bahagian siku dan tangan abang, "Abang, kita pulang ya", dalam hati ku berkata.
Alhamdulillah, urusan pengkebumian abang dipermudahkan hingga ke akhirnya.
Aku terima pemergian abang kerana ini kehendak-Nya.
Aku terima ketiadaan abang kerana ini terbaik buatnya.
Abangku.
Yang mengajari aku untuk menutup aurat.
Yang memberitahuku bahawa rambutku itu aurat.
Yang menegurku bahawa tanganku juga aurat.
Teguran demi teguran daripadanya membuatkan aku berusaha untuk menutup aurat sebaiknya.
Abangku, seorang anak yang sangat kesah akan keadaan mama dan bapa kami.
Sangat menjaga makan minum dan sekolah ku.
Sangat menghormati dan melayani orang tua.
Sangat ringan tulang membantu sini sana.
Sangat peramah dengan ahli keluarga mahupun bukan.
Meski abang tegas, senyumannya bisa mencairkan suasana yang tegang.
Mereka kata, orang baik selalu awal diambil Tuhan. Ya aku yakin itu. Lalu aku befikir sejenak. Aku belum baik, lalu Allah bagi aku masa dan peluang untuk bertaubat dan jadi baik. Dalam keadaan bersedia atau tidak, kita tetap akan meninggalkan atau ditinggalkan.
Dengan pemergian abang membuatkan aku ingin berpesan kepada diri.
Hargai orang yang menyayangi kita.
Selalu minta maaf atas kekhilafan diri kita kepadanya.
Sayangi orang yang sedia ada menyayangi kita.
Pengharapan dan pergantungan itu hanya pada Allah.
"Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan."
(Surah An-Najm: 43-44)
Diagnosis terakhir abang ialah Septic Shock and Multiorgan Failure. 6.10PM, 28 Mac 2015. Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.
Post ini bukan untuk meratap atau menagih simpati. Cukup untuk menjadi peringatan bersama.
Comments
Post a Comment